Dr Hannah Nazri, Director of the Malaysian Doctors for Women & Children shared an article she wrote on female circumcision. This was first published on her blog on 2nd April 2023, and then translated into Malay and published in Ova Health – The Galen Centre on 11th April 2023.

Tidak terlalu baru-baru ini, sunat perempuan menjadi perhatian rakyat Malaysia apabila pakar bedah popular Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Amalina Bakri, membidas suara-suara sumbang terhadap keputusannya untuk tidak menyunatkan anak perempuannya yang baru lahir.

Topik ini menjadi perbualan hangat di kalangan netizen-netizen dengan komen-komen yang tidak enak mengenai seksualiti kanak-kanak perempuan.

Semasa kecil, saya telah menyaksikan saudara-mara wanita mengalami sunat perempuan, tetapi saya hanya mula memahami kesan pencacatan/ pemotongan alat kelamin wanita (FGM/C) sebagai wanita dewasa, setelah mendalami kesannya terhadap wanita dalam komuniti-komuniti di seluruh dunia termasuk komuniti saya sendiri.

Apakah Sunat Perempuan?

Pencacatan / pemotongan alat kelamin wanita atau sunat perempuan (FGM/C) adalah isu hak asasi manusia yang melibatkan golongan wanita dan gadis di seluruh dunia.

Bergantung pada tempat seorang gadis dilahirkan dan tinggal, dia boleh dikenakan salah satu daripada empat jenis FGM/C seperti yang diklasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Rajah 1: Klasifikasi WHO bagi Pencacatan/ Pemotongan Alat Kelamin Wanita (FGM/C), yang diambil daripada “Ending FGC: A Toolkit for Engaging Practitioners” oleh Asia Network to End FGM/C.
Jenis 1 (Klitoridektomi): Pembuangan separa atau menyeluruh klitoris luaran dan/atau pembuangan hud klitoris.
Jenis 2 (Pemotongan): Pembuangan separa atau menyeluruh klitoris luaran dan labia minora (labia dalaman yang mengelilingi faraj) dan/ atau pembuangan labia majora (labia luaran).
Jenis 3 (Infibulasi): Pemotongan dan membawa bersama labia minora dan/ atau labia majora untuk membuat ruangan yang sempit untuk saluran faraj.
Jenis 4 (Pelbagai prosedur lain yang memudaratkan): Ini termasuklah menindik, menoreh, mengikis, membakar, dan menusuk alat kelamin wanita tanpa sebab kesihatan.

Di Malaysia, sunat perempuan diamalkan oleh orang Melayu Islam, dan amalan ini rata-ratanya melibatkan penjaruman atau penusukan hud/ kelenjar klitoris (klitoris luaran) (Rajah 1 dan 2) (Jenis 4).

Rakyat Malaysia hanya mengaitkan FGM/C jenis 1, 2, dan 3 dengan amalan ngeri yang dilakukan di benua Afrika yang telah menyebabkan kematian dan bukannya dengan sunat perempuan di Malaysia, kerana tiada kematian atau kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan wanita direkodkan dengan amalan sunat perempuan Malaysia.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini, jenis 1 FGM/C juga telah dilaporkan dengan pembuangan tisu kecil hud/ kelenjar klitoris oleh doktor-doktor Islam Malaysia yang tertentu.

Mengapa Perlu Menyunatkan Bayi Perempuan?

Rajah 2: Anatomi klitoris dan vulva (istilah untuk alat kelamin wanita luaran) oleh Sydney F Harris. Diambil daripada penerbitan saintifik oleh Dubinskaya et al. (2021). Hud klitoris adalah kulit yang melitupi kelenjar klitoris.

Di Malaysia, ibu bapa menyunatkan anak perempuan mereka kerana tradisi dan kepercayaan agama yang salah (mempercayai bahawa amalan ini adalah wajib dalam Islam), serta kepercayaan bahawa tiada kemudaratan kesihatan amalan ini terhadap anak-anak perempuan mereka.

Bidan tradisional yang melakukan amalan ini mengatakan sunat perempuan menghalang wanita daripada menjadi “liar”.

Sunat perempuan selalunya dilakukan untuk meraikan kelahiran bayi perempuan.

Ibu bapa sememangnya tidak berniat untuk mencederakan anak-anak mereka, dan benar-benar percaya sunat perempuan boleh meningkatkan rohani atau spiritualiti anak perempuan mereka.

Walau bagaimanapun, amalan ini berakar umbi dalam kepercayaan yang bermasalah kerana ia membawa implikasi bahawa kanak-kanak perempuan dan wanita tidak mampu mengawal rangsangan seksual mereka, and langkah-langkah yang drastik perlu diambil.

Mitos Tentang Sunat Perempuan

Sunat Perempuan Adalah Satu Keperluan Sejagat Dalam Islam

Di Malaysia, terdapat fatwa-fatwa yang berbeza mengenai sunat perempuan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia mengatakan bahawa sunat perempuan adalah wajib, dan memberikan garis panduan untuk hanya “mengemas” atau “menipiskan” hud klitoris, dan tidak sekali-kali dengan cara yang dikira sebagai pencacatan yang merosakkan klitoris seperti FGM/C.

Walau bagaimanapun, Jabatan Mufti Negeri Perlis berpendapat bahawa sunat perempuan hanya perlu dilakukan selepas perbincangan dengan pakar-pakar kesihatan jika ada keperluan, dan tiada bukti wanita yang tidak disunat mempunyai dorongan seksual yang berlebihan.

Di peringkat antarabangsa, Mufti Besar Mesir, salah satu pihak berkuasa yang tertinggi dalam Islam, mengisytiharkan bahawa sunat perempuan adalah dilarang dalam Islam.

Pemeliharaan Budaya

Terdapat satu tanggapan bahawa penentangan amalan sunat perempuan dan FGM/C oleh badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil adalah satu bentuk penjajahan baru oleh Barat, dan dilihat sebagai satu cara untuk orang luar untuk mengehadkan hak kita untuk mengamalkan budaya dan tradisi kita.

Walau bagaimanapun, FGM/C diamalkan secara global tanpa mengira agama atau budaya: Jenis 1 FGM/C (klitoridektomi) telah diamalkan pada zaman Victoria di Britain untuk merawat “mania” atau “histeria” atau kemurungan wanita.

Walaupun kurang diamalkan berbanding di Asia dan Afrika, FGM/C tanpa persetujuan masih diamalkan di Barat pada tahun 1950-an.

Tambah lagi, adakah pembedahan kosmetik alat kelamin wanita (FGCS) seperti labiaplasti, satu bentuk FGM/C yang boleh diterima di Barat?

Apabila membandingkan FGCS dan FGM/C, konsep persetujuan adalah penting. Seorang bayi perempuan berusia 6 bulan tidak boleh memberi persetujuan untuk sunat perempuan, manakala seorang wanita dewasa boleh memberi persetujuan untuk menjalani FGCS.

Akan tetapi, adakah persetujuan yang diberi oleh seorang wanita dewasa untuk FGCS benar-benar maklum (informed consent) jika terdapat tekanan masyarakat untuk mempunyai bentuk vulva yang “sempurna”?

Tidak ada satu bentuk vulva yang boleh diiktiraf sebagai sempurna. Sebaliknya, terdapat pelbagai bentuk vulva yang semuanya adalah sempurna.

Namun, ramai wanita sanggup meletakkan badan mereka dibawah bius untuk ditidurkan bagi menjalani FGCS. Semua jenis pembedahan terutamanya pembedahan dengan bius untuk ditidurkan mempunyai pelbagai komplikasi.

Perspektif Perubatan Tentang Sunat Perempuan

Rangsangan seksual (libido) didorong oleh apa yang berlaku di dalam otak dan faktor-faktor lain termasuk hubungan seseorang dengan pasangan mereka, jadi dakwaan bahawa gadis atau wanita akan menjadi makhluk seksual yang liar tanpa sunat perempuan adalah tidak benar.

Penjaruman, penusukan, atau pembuangan hud/ kelenjar klitoris mungkin tidak memberi kesan terhadap libido seorang wanita, namun sunat perempuan boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengalami orgasme.

Namun, kajian perlu dilakukan untuk lebih memahami kesan sunat perempuan Malaysia dan disfungsi seksual wanita.

Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada faedah perubatan untuk melakukan sunat perempuan. Ketiadaan faedah perubatan harus menghalang mana-mana professional kesihatan daripada melakukan sunat perempuan.

Di Malaysia, 20.5 peratus doktor Islam Malaysia mengaku melakukan penjaruman atau penusukan klitoris, dengan sebilangan kecil mengaku memotong klitoris (jenis 1 FGM/C).

Purata panjang hud/ kelenjar klitoris (klitoris luaran) untuk bayi perempuan baru lahir adalah 0.67 ± 1.6 mm dalam satu kajian. Dalam kajian lain yang melihat pada kanak-kanak perempuan berumur 0 hingga 3 tahun, hud/ kelenjar klitoris adalah 0.87 mm dengan hud klitoris terpaut kuat pada kelenjar bayi perempuan baru lahir dan menjadi kurang terpaut apabila usia meningkat.

Oleh itu, adalah amat sukar untuk memisahkan hud klitoris dari kelenjar klitoris untuk melakukan sunat perempuan dengan “selamat” seperti yang dicadangkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia.

Badan klitoris (termasuklah hud/ kelenjar klitoris) (Rajah 2) boleh membesar sehingga 37 mm dengan saraf dorsal klitoris dalam lingkungan 6 mm dari kelenjar klitoris di wanita dewasa.

Purata bilangan serabut saraf dalam saraf dorsal klitoris di wanita dewasa adalah 10,281 serabut saraf. Bayangkan kesakitan yang teramat dialami oleh bayi perempuan yang disunatkan!

Kesimpulannya, pemotongan klitoris yang sedikit sebenarnya adalah pemotongan yang banyak, kerana para doktor memotong tisu yang boleh membesar.

Sunat perempuan boleh menyebabkan ketidakpuasan seksual di kemudian hari, disebabkan ketidakupayaan untuk mengalami orgasme dengan secukupnya, dan boleh membawa kepada masalah perkahwinan dan ketidakharmonian keluarga.

Sunat perempuan bukan prosedur perubatan. Ia tidak diajar di sekolah perubatan di mana-mana seluruh dunia, jadi para doktor tidak sepatutnya melaksanakannya.

Bagaimana Kita Boleh Menamatkan Sunat Perempuan?

Kenalpasti Sebab-Sebab Di Sebalik Amalan Ini

Kebanyakan amalan FGM/ C berakar umbi dalam pengawalan badan wanita, tetapi ia adalah kompleks dan tidak boleh ditangani dengan satu penyelesaian.

Kita harus sentiasa ingat bahawa ibu bapa tidak ingin mencederakan anak-anak mereka.

Tidak memahami kerumitan FGM/C, boleh membawa kepada isu-isu perkauman dan etnosentrisme.

Kenali Dan Hormati Pandangan-Pandangan Yang Berbeza

Daripada menetapkan sebarang tindakan yang tegar dan dogmatik, kita harus mengemukakan fakta-fakta tentang sunat perempuan kepada ibu bapa dan profesional kesihatan dengan penekanan kepada autonomi dan kesihatan anak-anak kita.

Adakah ibu bapa patut memberi persetujuan untuk prosedur yang tidak mempunyai faedah perubatan?

Adakah ibu bapa mempunyai hak milik tunggal ke atas badan anak-anak mereka?

Ini adalah soalan-soalan yang perlu dikemukakan dan difikirkan secara mendalam.

Pendidikan Harus Ditekankan

Pendidikan seksualiti yang menyeluruh, yang meliputi sunat perempuan dan FGM/C di samping pendidikan tentang persetujuan dan keselamatan seksual perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah.

Kita mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan dunia yang lebih selamat untuk anak-anak perempuan kita, dengan memberi autonomi ke atas badan mereka.

Untuk belajar lebih lanjut:

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *